Latar Belakang

Hospital Langkawi terletak di Bukit Tekoh, Jalan Padang Mat Sirat iaitu 7 km dari Pekan Kuah dan 10 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Padang Mat Sirat. Ia merangkumi kawasan seluas 53 hektar. Hospital Langkawi merupakan satu-satunya hospital yang terdapat di pulau ini. Tiada sebarang hospital swasta atau kerajaan yang lain disini. Penduduk pulau Langkawi berjumlah lebih kurang 110,000 orang. Terdapat 8 klinik swasta dan 3 klinik kesihatan di pulau ini.

Hospital Langkawi mula memberikan perkhidmatan mulai tahun 1915 di Pekan Kuah. Hasil dari usaha pembangunan dan taraf pulau bebas cukai satu hospital baru siap dilengkapi dengan kuarters kakitangan dan peralatan telah dibina mulai pada 09 Jun, 1993 secara ‘turnkey’ oleh Skanska Pamara JV dari Sweden dan siap sepenuhnya pada 15 November, 1995 dengan kos pembinaan sebanyak RM 72 juta. Hospital baru ini mula beroperasi dan berpindah daripada tapak asal pada 22.11.1995 dengan bilangan katil sebanyak 110. Pada 22.02.2002 hospital ini dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

Hospital Langkawi merupakan Hospital berpakar dengan pakar yang sedia ada sekarang hanyalah pakar Perubatan Am, Pembedahan Am, Otopedik, Perbidanan & Sakit Puan dan Bius. Kepakaran lain yang ditawarkan di Hospital Langkawi adalah secara berkala dengan pakar yang menziarah dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star mengikut jadual yang ditetapkan. Kepakaran tersebut termasuklah Psikiatrik, Opthalmologi, ORL, Dermatologi, Neprologi, Dada, Pengimejan Diagnostik dan Kanak kanak.

Terdapat 110 katil dengan 7 wad di hospital ini dengan kadar pengisian (BOR) diantara 67% - 75%. Wad-wad tersebut adalah Wad Lelaki, Perempuan, Kelas Pertama & Kedua, Kanak kanak, Bersalin, Rawatan Rapi dan Neonatal Nursery. Rawatan pesakit luar hanya terdapat di Klinik Pakar yang menerima pesakit mengikut temujanji dan Unit Kecemasan yang menerima pesakit sepanjang waktu. Hospital Langkawi juga menjalankan kes-kes yang memerlukan pembedahan dengan Dewan Bedah yang berfungsi sepanjang waktu.

Tenaga kerja di Hospital Langkawi kini diisi secara puratanya 89%. Terdapat 5 Pakar dengan 21 Pegawai Perubatan. Pegawai pegawai Perubatan ditempatkan di Unit Kecemasan, Pembedahan, Perubatan, Perbidanan & Sakit Puan, Otopedik, Radiologi, Bius dan Kanak kanak. Selain dari 2 Pegawai Perubatan yang tetap di Unit Kanak kanak dan Bius, 19 Pegawai Perubatan yang lain hanya berada di disiplin masing masing semasa waktu pejabat dan selepas itu menjalankan tugas atas panggilan secara am. Seorang bertugas atas panggilan aktif di Unit Kecemasan dan seorang di wad-wad. Manakala seorang lagi bertugas atas panggilan pasif untuk kes kes pembedahan dan mengiringi kes rujukan.

Perkhidmatan perubatan dan rawatan yang disediakan di Hospital Langkawi terhad kepada yang am sahaja. Ini termasuklah pembedahan am, perubatan am, hemodialisis, perbidanan dan sakit puan, otopedik, pengimejan diagnostik, kanak kanak, bius dan kecemasan. Perkhidmatan ini diberikan secara rawatan dalam dan juga rawatan susulan dan klinik pakar pesakit luar. Pesakit yang memerlukan rawatan yang lebih terperinci atau lebih khas akan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star dengan menggunakan feri. Feri akan di sewa khas atau menggunakan feri penumpang bergantung kepada kes, dari Kuah sampai ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis dan seterusnya di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah dengan ambulan.