Lembaga Pelawat

Lembaga Pelawat Hospital (LPH) telah ditubuhkan sejak tahun 1946 di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia. Tujuan penubuhannya ialah untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada orang ramai.

LATARBELAKANG PENUBUHAN LEMBAGA PELAWAT HOSPITAL

Lembaga Pelawat Hospital (LPH) ditubuhkan dengan tujuan memberi nasihat kepada pihak berkuasa hospital tentang kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang perlu diperbaiki. Di samping itu, LPH turut berperanan mewujudkan dan menjalin perhubungan yang lebih rapat di antara pesakit, orang awam, para pegawai serta kakitangan hospital.

 PERANAN LEMBAGA PELAWAT HOSPITAL

  • Menjadi penghubung antara Hospital dan Pelanggan / Komuniti.

    LPH memainkan peranan perhubungan awam yang positif dengan memberi penerangan yang jelas kepada orang awam mengenai kemudahan-kemudahan am dan perkhidmatan- perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hospital serta masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak hospital dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

    Dengan cara ini, imej serta peranan sesebuah hospital akan dapat diperbaiki dan perkhidmatan LPH akan disanjung tinggi

  • Mengadakan lawatan ke Hospital

    Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) boleh memeriksa dan membuat lawatan ke mana-mana Jabatan dan Unit dalam hospital termasuklah wad-wad pesakit. Walau bagaimanapun, lawatan ini hendaklah tidak menggendalakan kerja dan tidak pula menghalang pemeriksaan dan rawatan pesakit-pesakit yang ada di dalam wad.

    LPH turut berperanan mengadakan lawatan ke hospital yang bertujuan mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang diberikan di hospital.

    Lawatan ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh hospital berkaitan perkhidmatan kepada pesakit dan waris serta mencadangkan kepada hospital atau melaksanakan perkhidmatan bagi membantu pesakit dan waris.

    LPH adalah dikehendaki menyediakan laporan mengenai setiap lawatan sebaik lawatan selesai dan membincangkannya di dalam mesyuarat LPH masing-masing.

    Semua lawatan yang dibuat oleh LPH hendaklah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan seperti berikut :

    • Seelok-eloknya, lawatan hendaklah dibuat sebulan sekali tetapi jika ini tidak dapat dilaksanakan, maka lawatan hendaklah dibuat tidak kurang dari 3 bulan sekali.
    • Bilangan ALPH dalam setiap kumpulan hendaklah tidak melebihi 5 orang.
    • ALPH tidak dibenarkan menghantar wakil dalam apa jua keadaan.
    • ALPH adalah dilarang membuat sebarang kenyataan di dalam akhbar berkaitan dengan hasil lawatannya.
    • Jadual lawatan hendaklah disediakan terlebih dahulu dan diedarkan kepada semua ALPH. Tarikh dan waktu lawatan akan diaturkan oleh Urus Setia.
    • Semasa ALPH membuat lawatan ke hospital, Pengarah atau Timbalan Pengarah, Ketua Jururawat, Penyelia Hospital dan seorang doktor/pakar yang ditentukan oleh Pengarah Hospital hendaklah turut serta di dalam lawatan.
    • Hasil lawatan hendaklah dibentang dan dibincangkan di dalam mesyuarat ALPH.
    • Menerusi lawatan ini juga, LPH boleh mendapatkan maklumat daripada pesakit yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta pesakit di dalam wad berhubung makanan, kebersihan, layanan kakitangan hospital, pakaian, tempat tidur serta lain-lain kemudahan yang diberi.
    • Antara tempat-tempat yang digalakkan untuk dilawati oleh LPH adalah wad-wad rawatan, klinik-klinik rawatan klinikal serta Unit-Unit sokongan seperti dispensari, makmal, radiologi dan lain-lain.
    • Walau bagaimanapun, terdapat juga tempat-tempat yang tidak digalakkan untuk dilawati atas sebab-sebab risiko jangkitan serta keselamatan pesakit serta harta hospital. Tempat- tempat ini adalah termasuk Wad Pengasingan/Rawatan Rapi, Bahagian Penyucian Hama, Bilik Rekod Pesakit, Dewan Pembedahan, Bilik Bersalin serta Stor Perubatan.
  • Menjalankan projek kebajikan untuk pelanggan.

    LPH diharap dapat memberi perkhidmatan kebajikan kepada pesakit-pesakit dan hospital umpamanya dengan mengumpul dan menghadiahkan pakaian lama kepada pesakit miskin serta mengumpul buku-buku dan majalah untuk bacaan pesakit serta mengumpul dan menghadiahkan barang-barang permainan kepada pesakit kanak-kanak.

    ALPH juga boleh secara peribadi menyumbangkan atau mendapatkan bantuan kewangan, misalnya, untuk membaiki surau, taman bunga, tempat pesakit berehat dan sebagainya.

    Perkhidmatan sebegini akan dapat menonjolkan sumbangan positif yang boleh diberikan oleh LPH sebagai pelengkap kepada perkhidmatan di hospital.

  • Perkhidmatan kebajikan kepada pesakit dan hospital.

    LPH juga boleh memberikan perkhidmatan kebajikan kepada pesakit-pesakit dan pihak hospital umpamanya dengan mengumpul buku-buku dan majalah untuk bacaan pesakit, mengumpul dan menghadiahkan pakaian lama dan barang permainan kepada pesakit miskin serta pesakit kanak- kanak.

    ALPH juga boleh secara peribadi menyumbangkan atau mendapatkan bantuan kewangan untuk membaiki surau, menyediakan seni taman, tempat pesakit berehat dan sebagainya.

  • Melibatkan diri dan masyarakat dalam aktiviti hospital.

    LPH turut berperanan melibatkan diri dalam aktiviti hospital dengan komuniti seperti kempen- kempen menderma darah, kempen anti-merokok dan sebagainya.

    ALPH juga boleh mengatur program-program berkaitan untuk membantu hospital menjayakan program-program lain yang dapat membantu pihak hospital dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan baik kepada masyarakat.

  • Mencadangkan penambahbaikan prestasi kakitangan.

    LPH juga boleh memainkan peranan dalam memantau dan menjaga prestasi para kakitangan hospital dengan mengemukakan sebarang teguran dan cadangan positif dalam meningkatkan mutu perkhidmatan semasa mesyuarat bulanan atau pada bila-bila masa yang dirasakan perlu kepada pihak pengurusan hospital.

  • Ahli Medical Inquiry Committee

    ALPH juga boleh dilantik mewakili komuniti di dalam Medical Inquiry Committee dalam menangani aduan-aduan dan kes-kes salahlaku kakitangan bersama dengan pakar-pakar rujuk yang dilantik oleh Pengarah Kesihatan Negeri.