Perutusan Pengarah

Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat melayari Portal Rasmi Hospital Langkawi. Saya berharap portal ini mampu menjadi satu wadah memudahkan orang ramai berurusan dengan Hospital Langkawi.

Syukur Kehadrat Ilahi, dengan limpah dan rahmat dari-Nya akhirnya Portal Rasmi Hospital Langkawi ini telah dapat disiapkan dan boleh diakses oleh masyarakat dari dalam ataupun di luar Negara. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada mereka yang dilantik dan dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan dan menyediakan portal ini, begitu juga penghargaan saya kepada warga kerja Hospital Langkawi yang turut menjayakan portal rasmi Hospital Langkawi ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Objektif utama penubuhan portal rasmi ini adalah menyahut seruan kerajaan dalam menjadikan masyarakat Malaysia hari ini yang lebih celik ICT di samping memenuhi hasrat kerajaan untuk bersama-sama dengan agensi kerajaan yang lain dalam perlaksanaan electronic government atau e-government pada masa kini. Inilah matlamat kami untuk menjadikan portal ini sebagai satu majalah maya yang penuh dengan informasi dan maklumat terkini mengenai hospital ini.

Secara umumnya di sini saya ingin menjelaskan perkhidmatan Hospital Langkawi amat prihatin dengan kehendak pelanggan di samping menjalankan beberapa aktiviti untuk meningkatkan perkhidmatan dan keselesaan pelanggan.

Bersesuaian dengan status Pulau Langkawi yang bertaraf Bandaraya Perlancongan Antarabangsa, pelbagai kursus dan latihan telah diberikan kepada warga kerja Hospital Langkawi bagi memastikan komunikasi dan interaksi yang berkesan di antara warga kerja dan pesakit sebagai melambangkan identiti masyarakat Malaysia yang tinggi dengan nilai budaya dan adat resam ketimuran.

Sebagai menjayakan konsep Islam Hadhari sepertimana yang dilaungkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, Hospital Langkawi tidak lupa dari mengabaikan keperluan pesakit dalam mengamalkan konsep "HOSPITAL MESRA IBADAH". Warga kerja di sini telahpun dilatih dengan ilmu dan pengetahuan yang secukupnya di samping menyediakan pamplet dan bahan bacaan untuk membantu pesakit dalam mempraktikkan konsep Hospital Mesra Ibadah agar sama-sama mendapat keberkatan dari Allah s.w.t.

Diharap dengan terbinanya portal rasmi ini sedikit sebanyak akan memudahkan orang ramai memperolehi maklumat dan informasi yang diperlukan mengenai hospital untuk dijadikan panduan sebagai manfaat bersama. Saya juga berharap mendapat pandangan dan maklumbalas dari pengunjung yang berkunjung di portal rasmi ini agar mutu perkhidmatan Hospital Langkawi dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang. Manfaatkanlah segala kemudahan yang telah disediakan di dalam portal rasmi Hospital Langkawi dengan sebaik yang mungkin.

Sekian dahulu dari saya, selamat melayari Portal Rasmi Hospital Langkawi.

"Mulakan Ucapan Salam Ikuti Dengan Senyuman"
"Profesionalisma, Penyayang dan Kerja berpasukan adalah Budaya Korporat Kita"

Salam hormat,
Y. Brs. Dr. Mansor Bin Ismail
Pengarah Hospital Langkawi