Optometri

Perkhidmatan Optometri, Hospital Langkawi adalah satu perkhidmatan yang diberi kepada pesakit dengan masalah sistem penglihatan. Matlamat unit ini ditubuhkan ialah untuk membina kejasama kesihatan bagi menggerakkan dan membimbing serta mendorong masyarakat untuk:-

  1. Menumpukan sepenuh perhatian dalam aspek kesihatan mata dan penglihatan.
  2. Menghargai kesihatan mata dan penglihatan sebagai satu aset yang berharga.
  3. Mengambil langkah-langkah positif bagi mengekalkan dan meningkatkan tahap kesihatan mata dan penglihatan ke arah kualiti kehidupan yang lebih baik.

Unit ini ditubuhkan pada Mac 2006 dengan tenaga kerja seorang Pegawai Optometri U41. Terdapat 2 perjawatan pegawai Optometri U41 telah diisi. Walaubagaimanapun, 1 jawatan telah disandar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star sejak Februari 2008.

FUNGSI

Perkhidmatan Optometri merangkumi :

  • Pemeriksaan mata primer secara komprehensif
  • Mengesan, membuat diagnosis dan merawat masalah sistem penglihatan.
  • Penjagaan dan pemulihan sistem penglihatan.
  • Pencegahan kebutaan
  • Merujuk kes-kes tertentu kepada Pakar Oftalmologi, Pengamal Perubatan atau Pengamal Kesihatan untuk rawatan lanjut.

Unit Optometri menerima pesakit yang dirujuk daripada unit-unit di Hospital Langkawi seperti Jabatan Kecemasan, Klinik Pakar, Pesakit Dalam, rujukan Klinik Kesihatan Daerah Langkawi, rujukan sekolah-sekolah dan juga rujukan daripada klinik-klinik swasta.

TUGAS UTAMA

 Perkhidmatan yang diberikan ialah :

  • Perkhidmatan Optometri Primer
    Perkhidmatan Optometri primer adalah perkhidmatan asas optometri yang diberi kepada pesakit rujukan baru dengan tujuan mengesan sebarang penyakit mata dan anomali fungsi penglihatan. Rujukan yang diterima adalah daripada lain-lain disiplin di Hospital Langkawi, klinik kesihatan, pasukan kesihatan sekolah, klinik swasta dan dari optometris swasta. Sekiranya hasil dari pemeriksaan tersebut terdapat masalah patologi, Pegawai Optometri akan merujuk pesakit kepada Pakar Oftalmologi, Pegawai Perubatan, Klinik Subspecialiti Optometri dan lain-lain disiplin yang berkaitan.
     
  • Perkhidmatan Optometri Pediatrik
    Perkhidmatan Optometri Pediatrik diberi kepada pesakit kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah termasuk bayi pra-matang dan kanak-kanak istimewa. Antara pemeriksaan yang dijalankan adalah :
    • Menilai status penglihatan
    • Menjalankan pemeriksaan refraksi sikloplegik
    • Menilai status penglihatan binokular
    • Memberi preskripsi cermin mata, kanta sentuh dan alat bantuan penglihatan terhad
    • Memberi terapi visual mengikut kesesuaian
    • Merujuk atau mencadangkan kemasukkan ke sekolah khas bagi kes-kes tertentu
  • Perkhidmatan Kanta Lekap
    Penglihatan kanta lekap dijalankan ke atas kes-kes post-penetrating keratoplasty, keratoconus, high ametropia, aphakia dan anisometropia yang mana pemakaian kanta lekap khusus akan memberi penglihatan lebih baik berbanding penggunaan cermin mata. Ia melibatkan pemeriksaan dan penilaian pesakit iaitu :
    • pemeriksaan slit lamp untuk menentukan kesesuaian pemakaian kanta lekap
    • pengukuran kelengkungan kornea
    • pengukuran Hosrizontal Visible Iris Diamete (HVID)
    • pengukuran ralat refraksi
    • pemasangan cubaan (trial-fitting) bagi mendapatkan parameter kanta lekap yang bersesuaian
    Konsultasi pemakaian dan penjagaan kanta lekap diberikan kepada pesakit, ibubapa / penjaga bagi memastikan pengendalian dan penjagaan kesihatan mata setelah memakai kanta sentuh adalah mengikut standard yang telah ditetapkan. Rawatan susulan akan dijalankan ke atas pesakit setelah pemakaian kanta lekap bagi mengenalpasti dan memantau sebarang komplikasi.
  • Perkhidmatan Penglihatan Binokular Dan Ortoptik
    Perkhidmatan Penglihatan Binokular & Ortoptik diberi kepada pesakit yang mengalami masalah anomali penglihatan binokular dan juling. Rawatan ini bertujuan untuk memulihkan, mengembalikan dan mengekalkan penglihatan binokular tunggal (binocular single vision) yang normal dan seterusnya mengurangkan simptom anomali penglihatan binokular. Rawatan yang bersesuaian adalah latihan ortoptik, terapi visual, pemakaian cermin mata, kanta lekap, prisma atau pembedahan. Pemeriksaan ulangan dilakukan bagi memastikan tahap pemulihan dan anomali tersebut memuaskan.

  • Perkhidmatan Penglihatan Terhad
    Perkhidmatan Penglihatan Terhad diberi kepada pesakit berpenglihatan terhad iaitu tahap penglihatan pada mata terbaik kurang dari 6/18 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari titik fiksasi walaupun setelah pembetulan dengan cermin mata atau kanta lekap.

    Perkhidmatan ini bertujuan membantu mengoptimumkan penglihatan residual pesakit dengan menggunakan alat bantuan penglihatan terhad seperti
    • peralatan optikal (low vision aids) seperti kanta pembesar dan teleskop.
    • peralatan bukan optikal
    • peralatan elektronik
    Penilaian dilakukan bagi mengenalpasti masalah dan keperluan pesakit sebelum sesuatu alat bantuan penglihatan terhad ditentukan. Cara penggunaan yang betul diajar kepada pesakit sebelum mempreskripsi alat bantuan penglihatan terhad. Pesakit juga akan diberi rehabilitasi visual, latihan/ orientasi, kaunseling serta rujukan ke pusat atau jabatan yang bersesuaian seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Orang-orang Buta (MAB) dan sekolah-sekolah latihan/ pendidikan khas.
  • Perkhidmatan Diagnostik Khas
    Perkhidmatan dignostik khas diberi kepada pesakit yang dirujuk daripada Klinik Optometri Primer dan Pakar Oftalmologi. Pemeriksaan diagnostik khas adalah pemeriksaan ke atas komponen tertentu seperti :
    • penglihatan warna menggunakan HRR bagi menentukan tahap (severity) masalah penglihatan warna yang dihadapi pesakit.
    • perimetri / medan penglihatan menggunakan Humphrey Automated Visual Field Analyzer
    • Biometry menggunakan A-Scan untuk mengukur panjang bola mata. Ini merupakan prosedur penting bagi menentukan kuasa kanta intraokular sebelum pembedahan katarak.
    • Saringan Diabetes Retinopathy menggunakan fundus camera bagi mengesan kehadiran, mengkelaskan tahap diabetik retinopati dan merujuk kepada pakar oftalmologi untuk rawatan lanjut